Sunday, May 13, 2012

Remy kena 13 jahitan

KATA orang malang memang tidak berbau. Begitulah nasib yang menimpa pelakon Remy Ishak. Aktor pujaan ramai wanita ini mengalami kecederaan ketika penggambaran filem terbarunya, Bravo 5 terbitan Karya Prima yang menjalani penggambaran di Tapah Perak pada malam Jumaat lalu.
SS diberitahu oleh satu sumber, ketika itu penggambaran filem bercorak komando arahan Yeop Hitler Zami ini dibuat dalam hutan membabitkan adegan pertempuran dan kejar mengejar. Ketika itulah, tanpa sengaja muncung senjata yang digunakan oleh pelakon Beto Kusyairy tertujah ke dahi Remy menyebabkannya mengalami luka yang agak serius dalam. 
Akibatnya Remy dibawa mendapatkan rawatan selanjutnya di Hospital Tapah. Namun dia tidak menjadikan ini satu alasan untuk menangguhkan penggambaran dan tetap meneruskan penggambaran. Baginya kemalangan sebegini tidak dapat dielakkan. Apatah lagi ianya membabitkan filem bercorak aksi lasak.

Seorang rakan SS sempat berbual dengan Remy semalam dan ketika itu dia berehat di rumah. Kata kekasih kepada Tiz Zaqyah itu, keadaannya kini stabil dan segala aktivitinya berjalan seperti biasa. Jelasnya ketika itu keadaan agak gelap, jadi kemalangan begini tidak dapat dielakkan dari berlaku.

Katanya, sebelum penggambaran memang sudah berulangkali mereka buat latihan, bagaimanapun kejadian ini tetap berlaku juga dan dia tidak menyalahkan mana-mana pihak. Akibatnya, dia menerima 13 jahitan dan darah banyak mengalir. Namun dia menganggap itu kemalangan biasa yang boleh berlaku di mana saja.

Akuinya lagi, sebenarnya kalau diikutkan dia selalu berhati-hati berlakon dalam drama dan filem yang dibintanginya. Justeru, dia tidak menyalahkan pasukan produksi atas kecelakaan yang berlaku. Tambahnya pula, sepanjang penggambaran mereka mendapat nasihat daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia yang banyak memberikan kerjasama dalam filem ini.

Remy mendapatkan rawatan lanjut di sebuah pusat rawatan terkenal di ibu negara dan diberi cuti sehingga 18 Mei. Kebetulan pula produksi filem Bravo 5 juga bercuti, dapatlah dia berehat sehingga lukanya sembuh. Dia tidak kisah dahinya berparut kerana terdapat kosmetik dan ubat boleh digunakan untuk memulihkannya. Lagipun dia bukan pelakon wanita yang perlu menjaga rapi wajahnya.

Sempat juga rakan SS mengusik Remy bagaimana dengan reaksi Tiz dan dalam ketawa dia memberitahu buah hatinya faham dan tidak panik sangat. Bagaimanapun, biasalah orang perempuan sedikit sebanyak kerisauan tetap ada. Iyalah, sudah namanya kekasih takkanlah Tiz tidak berasa bimbang langsung dengan apa-apa yang berlaku pada Remy.

Apapun SS doakan semoga Remy cepat sembuh dan dapat berlakon seperti biasa. SS juga berharap semua pelakon dan produksi sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika penggambaran drama mahupun filem.


SS: Amalkan baca doa meminta dipelihara dari sebarang malapetaka setiap kali hendak keluar rumah dan buat sesuatu kerja.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites