Sunday, May 13, 2012

B&P, Hujan miliki kelebihan tersendiri


KEDUA-duanya hebat dengan cara tersendiri. Jika Black & Parallax (B&P) dilihat sebagai ‘master’ dalam komposisi lagu berpadu dengan vokalis luar biasa, Hujan pula berdiri sebagai satu jenama yang kuat.
Saban minggu mereka mengganas, malah, setakat ini belum pernah gagal mengundang pujian juri tetap, Jennifer Thompson dan Loque kerana sering tampil ‘wow’ di pentas Versus, bersiaran setiap Jumaat jam 9.30 malam di TV9. 
Jika Juri memperakui kebolehan mereka, apa pula pandangan B&P pada Hujan dan sebaliknya komentar Hujan kepada B&P? Lantas kedua-dua kumpulan itu diajak untuk melontarkan pendapat mengenai kelebihan dan kekurangan band lawan.
Yang pasti, dalam mengagumi kedua-dua kumpulan itu saling ‘cemburu’ dengan kelebihan masing-masing. 
“B&P memang handal. Kalau Meet Uncle Hussain (MUH) sudah power, B&P lebih ‘power’ daripada itu. B&P mempunyai jentera muzik yang hebat. Mereka ada Black yang kita tahu suaranya luar biasa, mereka juga ada MUH yang mana kami sendiri amat menghormati karya-karya Taja daripada kumpulan itu. 
“Posisi pemain keyboard B&P pula menampilkan Bajai daripada kumpulan Tilu manakala pemain drum, menggunakan khidmat Bakri dari band Gerhana Ska Cinta. Gandingan mereka memang hebat.

“Mungkin, kalau diminta menyentuh kelemahan B&P pun, yang saya nampak adalah dari sudut keserasian. Memandangkan masing-masing dari kumpulan berbeza, contohnya Black sendiri dikenali sebagai penyanyi solo. Penggabungan B&P sebagai band projek khusus untuk Versus, manakala, Hujan pula, sememangnya sudah lama bergerak sebagai sebuah band.

“Enam tahun bersama, untuk mewujudkan keserasian di atas pentas bukan masalah bagi kami. Hujan dari segi ‘skill’ individu barangkali tidak seberapa jika dibandingkan dengan B&P, tetapi kami kuat sebagai sebuah band jadi untuk kami beraksi dan bekerja lebih mudah.

“Saya dapat bayangkan jika kami ada semua elemen itu tentunya lebih menarik. Kelebihan kami pula ada AG (pemain gitar utama) dan Noh (vokalis) yang bertindak sebagai pencetus idea kreatif dalam kumpulan ini. Manakala B&P bersandarkan kepada kreativiti Taja ,” kata Hang Dimas atau Dimas Santoso, selaku jurucakap juga pemain keyboard kumpulan Hujan.

Selain Dimas, Hujan dianggotai Noh Salleh selaku vokalis, gitar kedua dan penulis lagu, Hezry Hafidz (AG/ gitar utama/penggubah lagu) Azham Ahmad (Am/Ambobzeela/dram) dan Izzat Huzaini (bes). Manakala, Taja atau Nik Mustaza Nik Mustapha, pengasas kumpulan MUH juga pemain gitar utama B&P, menyifatkan Hujan, bukan sebuah band biasa sebaliknya sebuah jenama lengkap.

“Hujan pada pendapat saya band yang didatangkan lengkap dengan pakej. Mereka ada stail, imej, muzik dan fesyen di mana setiap ciri yang dimiliki itu setaraf band antarabangsa. Cita rasa muzik mereka juga bagus, setiap kali muncul dengan album baru mereka tampil dengan konsep berbeza.

“Jika album pertama mereka dulu terlalu menjurus kepada bunyi dan ‘direction’ The Stroke, kemudian menerusi album kedua Hujan melakukan eksplorasi muzik J Rock (Japannese Rock). Manakala, album ketiga mereka beralih pada metal pula.

“Selain itu, setiap ‘personel’ Hujan mempunyai kekuatan masing-masing. AG, semua orang tahu dia seorang pemuzik dan gitaris yang bagus. Pengetahuan muziknya hebat bukan setakat rock saja tetapi juga jazz.

“Noh pula kekuatannya selain kreatif, dia cukup berpengaruh dan apa saja diperkatakannya pasti mampu mempengaruhi peminat. Dimas pula pemain keyboard dan pemimpin kreatif dan berkaliber. Manakala Izzat (gitar bes) punya tenaga luar biasa setiap kali beraksi di pentas, walaupun, orangnya bertubuh kecil. Manakala, Am pula, ‘drummer’ yang dedikasi,” katanya.

Taja turut menyifatkan Hujan sebuah band yang berani dengan membawa pendengar kepada sesuatu yang asing dalam masyarakat ini. Misalnya, di konsert Versus pertama, mereka mengetengahkan konsep ‘dub step’ di mana penerimaannya di Malaysia belum meluas.

Menyentuh mengenai pengalaman dan cabaran menerusi Versus, sama ada B&P mahupun Hujan, masing-masing bersetuju dalam mengolah atau memberi nafas baru kepada lagu yang sudah hit untuk disesuaikan dengan cara mereka serta tuntutan masa kini adalah satu tugas sukar.

“Kita tak nak rosakkan lagu orang tetapi mahu membawakannya dengan cara sendiri tanpa mencemarkan keaslian lagu asal. Kita mahu, kalau dulu orang dengar mereka terhibur dalam versi Hujan mereka lagi terhibur dan inilah cabaran paling sukar,” kata Dimas.

Taja pula menambah, sudah lima minggu mereka beraksi, lagu yang paling sukar digubah semula adalah Sekadar Di Pinggiran dendangan asal Francissca Peter yang dipersembahkan di minggu keempat.

“Ada satu bahagian chord lagu langsung tidak boleh diubah dan bila saya cuba mengubahnya lagu itu bertukar sama sekali. Saya tabik dengan Manan Ngah kerana saya tidak tahu macam mana dia kunci lagu ini dengan baik,” katanya.

Tidak kurang hebatnya menyaingi B&P dan Hujan di dalam Versus adalah kumpulan Go Gerila!, Sofazr, 6ixth Sense. Lima kumpulan ini akan bersaing sehingga menghadapi final minggu depan sekali gus merebut ganjaran wang tunai RM200,000 ditawarkan penganjur, TV9 dan Hot FM.

Mengimbas semula persembahan minggu kelima yang dipancarkan secara langsung Jumaat lalu, dari SpaceU8, Shah Alam, setiap band diberi cabaran membawakan lagu-lagu pop era 90-an. Juri undangan yang diundang adalah Norman Abdul Halim.

6ixth Sense mempertaruhkan lagu lagu ‘Fiona’ (nyanyian 4U2C) dan memberi sentuhan samba manakala Black & Parallax menyuntik nafas modern rock dan menyelitkan unsur dangdut dalam lagu ‘Bulan Cinta’ (dendangan asal kumpulan Eva).

Sementara, Go Gerila! mengejutkan juri apabila tampil membuat persembahan tanpa menggunakan dram sehingga mendapat pujian dari Jennifer dan Loque cemerlang. Mereka mempertaruhkan lagu hit kumpulan Feminin, Untukmu. Manakala Hujan, begitu agresif dan bertenaga sewaktu menyampakan lagu Mengerti dendangan asal KRU dan Sofazr (Inilah Nasibku/Nico).

Sebelum pertempuran itu dimulakan, dua kumpulan yang mendapat undian SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) tertinggi, iatu Hujan dan Go Gerila! terlebih dulu beraksi dalam segmen ‘Battle’. Hujan mempertaruhkan lagu Inspektor Remos, manakala, Go Gerila! menyampaikan lagu yang baru dua hari dicipta mereka sebelum konsert berjudul, It’s Not Myth.




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites