KETABAHAN dan kepayahan hidup dialami wanita bergelar ibu tunggal, bukan asing buat pelantun vokal soprano ini meskipun tidak pernah merasai pengalaman itu.
Namun serpihan derita ibunya, Satila Abdullah, yang bergelar ibu tunggal lebih kurang 19 tahun lalu sudah cukup buatnya memahami pengorbanan wanita yang takdir hidup mereka sama seperti mana ibunya.
“Emak saya selalu cakap: “Ma dah tiada siapa dah dan Ma dedikasikan hidup Ma ini untuk kamu,” kata Ning dengan gena�ngan air mata.
Akui Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Hamzah, 37, pengorbanan ibunya untuk membesarkan dia berkongsi saat suka dan duka, sampai bila pun tidak termampu dibalas. Yang hanya mampu dilakukan Ning untuk membuktikan kasihnya terhadap ibu adalah menghormati dan cuba untuk tidak melukakan hati ibunya.
“Saya sentiasa menjaga tutur kata dengan emak saya dan sangat bimbang jika dia terluka. Sepanjang hidup saya tidak pernah terlintas untuk memarahi emak.
“Misalnya, dua tiga hari lepas, emak saya terlupa di mana dia letakkan satu barang ini. Barang itu agak penting dan berharga juga tapi saya fikir tak payahlah setakat hilang barang-barang, sampai kita hendak marahkan emak.
“Mereka sudah tua kadang-kadang cepat terlupa. Barang yang hilang boleh dicari atau diganti tetapi kasih sayang ibu beri amat besar dan tidak ternilai. Jadi anak-anak hormatilah ibu juga bapa, bahagiakan mereka selagi ada hayat,” katanya.
Rabu lalu, Ning membuat lawatan ke Rumah Ibu Tunggal Mas Merah beralamatkan No.2, Jalan SS1/43B, Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Persatuan ibu tunggal itu diterajui oleh Sharifah Kamariah Syed Ibrahim, 74, selaku presiden.
Kunjungan itu adalah sebahagian aktiviti yang diaturkan pihak penganjur sebelum menjelang�nya sempena Ratu Hatiku Mother’s Day High-Tea, bakal berlangsung pada 20 Mei 2012 nanti di Hotel The Royale Bintang Damansara.
Ternyata, Ning begitu mengagumi kehalusan seni tangan ibu-ibu tunggal menjahit manik pada tudung serta hiasan bunga tangan yang dihasilkan mereka. Malah, dia sempat mempelajari teknik sulaman itu.
“Melihat ibu-ibu tunggal yang berada di sini mengingatkan saya kepada emak saya. Sepatutnya emak saya ada bersama pada hari ini tetapi dia ada urusan lain. Jika tidak, dia pasti gembira bertemu dengan mereka senasib dengannya.
“Memikirkan kepayahan yang dilalui emak, memang saya tidak sangka dia boleh setabah seperti hari ini. Seorang mualaf digantung tidak bertali untuk beberapa tahun dan status isteri kedua, bukan situasi mudah dilalui. Kalau saya barangkali boleh jadi gila.
“Namun, itulah kehebatan seorang wanita. Mampu membesarkan anak tanpa bergantung harap pada sesiapa, hanya berbekalkan kesabaran dan kecekalan.
“Setiap ibu terutamanya ibu tunggal layak ditempatkan di syurga. Saya pasti akan datang lagi ke sini bersama ibu,” katanya.
Bukan sekadar satu lawatan, kunjungan itu juga turut dimanfaatkan dengan pemberian sumbangan tunai RM1,000 serta meja bernilai RM5,000 untuk dihadiri ahli persatuan berkenaan oleh ahli perniagaan, Datuk Nor Hasnal Hashmi.
Beralih pada persembahan berdurasi 45 minit yang bakal dijayakan, Ning akan mempersembahkan lagu malar segar seperti Ibu, dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Kasihnya Ibu dan lagu-lagu hitnya yang menepati tema.
Ning turut meluahkan impian untuk berduet dengan ibunya kerana selama 19 tahun bergelar anak seni, ini adalah kali pertama dia berpeluang membuat persembahan di Hari Ibu dan mahukan ibunya meraikan bahagia itu di pentas bersamanya.
“Saya masih memujuk ‘Ma’ dan harap dia tidak menolak. Pada acara itu nanti saya juga mahu ibu-ibu yang lain menyanyi bersama saya,” katanya.
Kepada peminat penyanyi popular dengan lagu Curiga, Awan Yang Terpilu dan Selagi Ada itu, tiket persembahan dijual pada harga RM180 (gangsa), RM280 (perak), RM500 (emas) dan VIP Platinum, bolehlah membuat tempahan dengan melayari www.tickethotline.com.my.
Selain Ning, majlis itu turut menampilkan khas Maulana dan Azrul Raja Lawak selaku pengacara.
Mengemaskini aktiviti seninya yang lain, pada 22 dan 23 Mei ini Ning akan membuat persembahan di Alexis Bistro, Great Eastern Mall, di hadapan jumlah peminat yang terhad. Manakala Jun nanti, vokal hebatnya bakal menggegarkan Hard Rock Cafe, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dengan sebuah showcase istimewa.
“Perbincangan mengadakan showcase di Hard Rock Cafe itu masih dalam perbincangan namun, ia menunjukkan tanda-tanda positif untuk dilaksanakan. Saya memang menantikan peluang seperti ini kerana persembahan berskala kecil sebegitu mewujudkan keintiman antara saya dengan peminat,” katanya.
Memahami, masa depan tidak boleh bergantung dengan menyanyi saja Ning membuat pelaburan dengan menjadi rakan kongsi sekali gus bertindak selaku duta kepada tiga produk iaitu Neubodi, Medishape dan Dr Backbone.
“Neubodi adalah produk pakaian dalaman wanita yang beroperasi di tingkat satu, Bangsar Village 2. Manakala Medishape pula, pusat penjagaan badan, sementara Dr Backbone, produk kesihatan untuk menjaga tulang belakang.
“Saya ingin berterima kasih kepada Chris (suami) di atas usahanya mencari peluang perniagaan buat saya selain menguruskan aktiviti nyanyian. Tanpa pengurus sukar sebenarnya untuk bergerak.
“Selain sibuk memenuhi undangan nyanyian sehingga penghujung Jun nanti sebelum berehat bagi menghormati Ramadan, tahun ini saya juga merancang untuk mempunyai anak tahun ini,” katanya.
Sumber dipetik dari :myMetro Online