Ibu Lambang Kebahagian
TERSENYUM lebar ibu Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), Noor Haizan Jantan, 65, apabila anak tersayang, Fizz Fairuz membawanya ke kedai emas, Habib Jewel Sdn Bhd untuk melihat koleksi barang kemas terbaru.
Ibu mana tidak gembira apabila anak tersayang membuat kejutan sedemikian rupa. Dua beranak ini ketika ditemui leka membelek dan melihat barang kemas yang dipamerkan.
Ibu mana tidak gembira apabila anak tersayang membuat kejutan sedemikian rupa. Dua beranak ini ketika ditemui leka membelek dan melihat barang kemas yang dipamerkan.
Kata Fizz, ibunya cukup popular dalam kalangan teman surau di kampung mereka di Raub, Pahang.
“Emak memang dikenali dalam kalangan penduduk kampung. Nanti apabila artikel ini keluar, mesti kawankawan emak akan mengusiknya bila dapat tahu cerita barang kemas,” kata Fizz yang menjadi kebanggaan keluarga di atas kejayaannya meraih anugerah baru-baru ini.
Hadiah istimewa itu diberikan kepada Noor Haizan pada majlis makan malam sempena Hari Ibu. Memang sudah menjadi rutin mereka sembilan beradik meraikan Hari Ibu saban tahun.
Biasanya setiap kali Hari Ibu, mereka sembilan beradik termasuk ipar duai dan 16 cucu akan berkumpul beramai-ramai meraikan ibu tercinta. Jika sebelum ini, ibu hanya diraikan dengan makan malam saja, tetapi tahun ini lebih istimewa kerana hadiah misteri sudah pun menanti.
“Memang setiap tahun saya akan bawa seluruh ahli keluarga makan besar di hotel. Tidak ada seorang pun yang akan tinggal, semua dipaksa turun untuk bersama-sama meraikan emak,” kata Fizz.
Sementara itu, senyuman Noor Haizan yang melebar tiba-tiba bertukar saat mengimbau kembali kemanisan tatkala anak tersayang diumum sebagai pemenang pada malam kemuncak ABPBH tanggal 8 April lalu.
Dia yang ketika itu sedang ralit menggosok pakaian, tidak menyangka penantian Fizz yang dipanggil Fairuz oleh ahli keluarga selama sedekad berhasil.
Ucapan syukur tidak henti meniti di bibir, manakala air mata menjadi peneman kala sendirian di rumah memandangkan semua anaknya yang lain berada di Genting Highlands memberikan sokongan kepada Fizz.
“Tahun ini Mak Cik tidak turut serta sebab tidak larat. Kalau tidak, sejak Fairuz dicalonkan memang Mak Cik pergi memberikan sokongan.
Mak Cik memang tak sangka dia akan menang kerana calon lain semuanya hebat belaka.
“Waktu dia popular dengan drama Nur Kasih dulu, Mak Cik sangkakan ketika itu dia menang. Selepas beberapa kali tewas, Mak Cik langsung tidak letak harapan lebih-lebih melihat persaingan tahun ini kuat. Jadi apabila namanya diumumkan, Mak Cik sangat terharu.
“Sebaik saja menang, Fairuz terus hubungi Mak Cik. Waktu itu Mak Cik tidak boleh berkata-kata langsung, sebaliknya kami berdua hanya menangis sebab ini adalah harapan ayah dia untuk melihat kejayaannya,” kata Noor Haizan sambil menyeka air mata.
Fizz berkata, trofi itu tidak akan menjadi miliknya seandainya tidak didorong oleh perasaan sabar.
Paling penting, kata anak muda berusia 33 tahun ini, jangan mudah berputus asa.
Kata Fizz, walaupun melalui perjalanan yang sangat panjang dan sukar, tidak pernah sekali dia berputus asa. Formula ini mungkin boleh dijadikan contoh kepada generasi muda yang lain supaya tidak bersikap memilih.
“Kalah atau menang, saya tetap teruskan kerjaya.
Tidak pernah sekalipun saya berhasrat mengundur diri walaupun laluan saya dalam industri ini sangat mencabar. Saya juga tidak memilih watak. Walaupun watak kecil hanya tiga babak, saya tetap terima kerana di situlah saya dapat tunjukkan kebolehan untuk memikat penonton.
“Kalau tidak menang pula, kita kena tahu apa yang tidak cukup lagi pada saya sehingga peminat tidak memilih saya. Mungkin ada kesilapan pada lakonan yang peminat tidak puas hati. Semua itulah yang memotivasikan saya untuk perbaiki lagi diri.
“Selepas ini sasaran saya mahu menjadi pelakon terbaik pula. Siapa tahu rezeki saya untuk julang pula trofi Festival Filem Malaysia (FFM) dan Anugerah Skrin pula,” katanya.
Sumber dipetik:Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment