Tuesday, May 8, 2012

Cabaran menjiwai watak Uji

Ainul Aishah

MELAKONKAN watak Uji ketika zaman remaja dalam filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki adalah peluang keemasan buat pelakon muda Ainul Aishah menimba ilmu dengan pengarah yang menjadi idolanya, sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.
Lebih bermakna, Ainul berpeluang bekerja dengan barisan pelakon berkaliber iaitu Vanidah Imran (watak utama Uji dewasa), Rashidi Ishak dan Fauziah Ahmad Daud (emak Uji) dalam filem diadaptasi daripada novel popular Ahadiat Akashah.
Tidak ketinggalan, penampilan Zizan Raja Lawak yang melakonkan watak Shidee ketika zaman remaja.




Walaupun watak pembantu dan membabitkan sebanyak sepuluh babak, pemilik nama sebenar Ainul Aishah Azizon mengakui sangat teruja bekerjasama dengan semua idolanya dalam bidang seni.

“Secara peribadi, saya seronok berlakon dalam filem ini kerana dapat bekerja dengan pengarah yang cukup dihormati dalam bidang seni iaitu Afdlin dan produser filem terkenal yang menerbitkan filem Ombak Rindu, Sharad Sharan dari Tarantella Pictures Sdn Bhd.
“Walaupun tidak baca novel berkenaan tetapi kami banyak berbincang siang dan malam dengan pengarah dan barisan pelakon utama filem ini untuk menjiwai watak diserahkan dengan baik,” katanya.

Ainul berkata, watak Uji memberi cabaran besar buatnya sebagai pelakon muda. Bagaimana cabaran itu dilakukan sebaik mungkin mengikut kehendak skrip dan pengarah.

“Cabaran paling besar ialah ketika menjiwai watak Uji yang banyak melatah dalam filem ini. Pada peringkat awal, saya beritahu Afdlin tidak boleh buat babak melatah itu dengan ‘natural’ tapi beliau berjaya meyakinkan saya untuk buat babak itu seperti dikehendaki ceritanya.

“Saya akui Afdlin pengarah yang selamba tetapi garang ketika di lokasi, namun saya tetap ingin bekerjasama dengannya dalam filem ini. Bukan saja Afdlin, saya turut berasa gementar bekerja dengan seorang lagi idola dalam bidang seni iaitu Kak Fauziah (Ogy) yang menjadi emak Uji dalam filem ini.

“Walaupun hanya terbabit satu babak saja dengan Kak Ogy, saya tidak dapat sembunyikan perasaan gementar itu. Tapi, kita akan buat babak itu sebaik mungkin apabila kita takut buat silap dengan artis senior yang dihormati sepertinya.

“Bagaimanapun, penggambaran filem ini sudah selesai awal tahun lalu tapi produser belum putuskan lagi bila tarikh tayangan filem ini di pawagam tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas tamat kontrak tiga tahun dengan syarikat pengurusan bakat Aquila Emas Sdn Bhd bermula April lalu, Ainul juga merancang untuk bergerak sendiri menguruskan karier seninya.

“Saya putuskan untuk tidak sambung kontrak dengan Aquila Emas kerana sudah memperlahankan aktiviti seni kerana ingin fokus pada bisnes keluarga.

“Saya keluar dari Aquila Emas bukan kerana ada masalah dengan pihak mereka sebaliknya ingin memperlahankan aktiviti seni buat masa ini. Saya percaya, kini sudah cukup ilmu dalam bidang seni untuk bergerak sendiri menguruskan karier seni.

“Jika saya merancang untuk aktif semula dalam bidang seni, saya berhasrat mencari seorang pengurus baru untuk menguruskan karier seni dan bukan bernaung di bawah pengurusan bakat lagi seperti dulu,” katanya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa rugi meninggalkan karier seni ketika tawaran berlakon mencurah, Ainul menegaskan, bidang bisnes adalah sebagai jaminan masa depannya.

“Kalau artis lain kejar glamor dan populariti, saya pula sebaliknya tak ada apa lagi yang nak dikejar pun dalam bidang seni. Saya memperlahankan aktiviti seni bermula April tahun lepas dan sudah dua tahun tidak aktif berlakon,” katanya.

Namun Ainul berkata, dia akan mempertimbangkan tawaran buat projek telefilem jika skrip yang ditawarkan menarik.

“Saya terikat dengan bisnes sebab itu saya terpaksa buat projek yang tidak ambil masa yang panjang. Buat masa ini, saya banyak dapat tawaran buat projek drama bersiri tetapi saya terpaksa menolaknya kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen,” katanya.

Kali terakhir, Ainul berlakon ialah dalam telefilem 696 Kilometer dan filem terakhir lakonannya pula ialah Histeria arahan James Lee.



TRIVIA AINUL

  • Kali terakhir anda menangis?
    Bila dapat tahu kanak-kanak mangsa culik, Nayati Shamelin Moodliar sudah kembali ke pangkuan keluarga.
  • Tabiat pelik diri sendiri?
    Sukar tidur malam, obses dengan Blackberry dan i-Phone
  • Hadiah paling mahal pemberian kekasih?
    Kasih sayang
  • Aktor Hollywood yang menjadi idola?
    Johnny Depp
  • Kereta mewah idaman?
    Porsche
  • Aset yang nak dibeli?
    Bangunan untuk empayar bisnes
  • Destinasi percutian idaman?
    Maldives


  • 0 comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Share

    Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites